Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan MAB, Boo Hui Yee (tiga,kiri) bertukar dokumen Perjanjian Bekalan Tenaga Solar (SSA) antara GSPARX Sdn Bhd dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi pemasangan panel solar bumbung di empat bangunan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) memeterai perjanjian dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk pemasangan panel solar pada empat bangunan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Solar (SSA), MAB dijangka dapat menjimatkan kira-kira RM15 juta bil elektrik sepanjang 21 tahun kontrak melalui kepakaran GSPARX dalam pemasangan dan operasi panel solar bumbung.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airlines, Boo Hui Yee dan
Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan di Kompleks Kejuruteraan
Malaysia Airlines, KLIA South Support Zone, semalam.

Majlis disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG)
merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail dan
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Panel solar fotovoltaik (PV) yang bakal dipasang mempunyai kapasiti 2.210 megawatt peak (MWp) yang mampu menjana hampir 2.86 gigawatt jam (GWh) tenaga hijau setahun.

Projek ini adalah pemasangan terbesar pada satu lokasi buat GSPARX, akan memanfaatkan MAB dalam usaha jangka panjang mereka untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida CO2.

Sebaik siap pada April 2021, tenaga hijau yang dijana daripada projek ini dijangka dapat mengimbangi pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 2,022 tan metrik untuk tahun pertama, atau kira-kira 56,638 tan metrik pelepasan sehingga 2050.

Ia bersamaan dengan mengurangkan 12,197 kereta di jalan raya atau menanam sebanyak 933,520 pokok, kata Amir Hamzah.

Amir Hamzah berkata TNB sedang giat memperkukuhkan portfolio RE di dalam dan luar negara dengan sasaran untuk mencapai 1,700 MW menjelang 2025 dan menyokong sasaran negara untuk mencapai penjanaan 20% RE menjelang 2025.

Selain aset penjanaan berskala besar, TNB juga aktif menyokong pertumbuhan RE di peringkat penjanaan teragih melalui kerjasama seperti yang dilakukan dengan MAB bagi membolehkan pengguna menjadi pengeluar swaguna.

Amir Hamzah menegaskan kerjasama dalam bidang RE dilaksanakan TNB turut menjadi teras kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi yang menjurus kepada pembentukan hab penghasilan solar di Malaysia. – MalaysiaGazette