Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) sedang giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil dan pengusaha sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk  Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, inisiatif MPOB telah berjaya meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC yang telah ditubuhkan di seluruh negara.

Pekebun kecil yang menyertai SPOC akan dibantu oleh Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik bagi persediaan pensijilan MSPO kebun sawit secara berkelompok.

“Pensijilan MSPO oleh pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan,” kata beliau dalam teks ucapan perasmian program JOM MSPO Negeri
Sarawak, di Miri hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan telah menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian untuk melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi kos yuran pensijilan, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Kerajaan amat prihatin terhadap kos pematuhan kriteria amalan mampan yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO. Oleh itu, keseluruhan kos pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian ditanggung oleh
kerajaan,” tambah beliau.

KPPK melalui MPOB akan melipat gandakan usaha untuk menangani cabaran dalam memastikan pekebun kecil tidak ketinggalan mendapatkan pensijilan MSPO.

Sehingga 22 September 2020, seluas 5.14 juta hektar atau 87.1% daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat sijil MSPO, manakala 420 kilang buah sawit atau 92.92% telah mendapat pensijilan MSPO daripada keseluruhan 452 kilang buah sawit.

Bagi pekebun kecil persendirian, semua 162 SPOC di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO.

Ini melibatkan penyertaan 78,623 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kawasan tanaman sawit sebanyak 243,515 hektar (24.69%) dan pekebun kecil tersusun di bawah seliaan agensi persektuan dan negeri, seramai 215,064 orang dengan keluasan 711,196 hektar (98.48%).

Di Sarawak, 32 buah SPOC yang ditubuhkan telah memperoleh sijil MSPO dan melibatkan 18,161 orang pekebun kecil dengan keluasan 101,307 hektar.

Keluasan kawasan tanaman sawit yang dipersijilkan adalah 50.15% daripada jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian iaitu 202,016 hektar di Sarawak.

Sementara itu, sehingga 31 Ogos 2020, sebanyak 18 Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di Sarawak dengan keahlian berjumlah 3,260 serang pekebun kecil.

Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik dan pelaksanaan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

Aktiviti utama KPSM adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang.

Mohd Khairuddin turut menggesa lebih ramai pekebun kecil mendaftar keahlian KPSM untuk mendapat faedah yang disediakan melalui aktiviti koperasi.

Para pekebun kecil diminta berhubung dengan Pegawai TUNAS MPOB untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan KPSM. – MalaysiaGazette