KUALA LUMPUR – Sebanyak 856 beg darah merah dibekalkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Sabah pada Jumaat lalu bagi menampung keperluan pesakit.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan perkara itu memberitahu, bekalan darah itu dihantar menggunakan penerbangan pesawat milik Tentera Udara Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Para penderma darah yang budiman, andalah bukti rakyat Malaysia itu prihatin.
“Susah senang kita harungi bersama. Tidak kira di mana pesakit berada tanggungjawab sosial ini tetap berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Noor Hisham, antara menyumbangkan darah tersebut adalah Pusat Darah Negara, Hospital Melaka, Melaka; Hospital Sultanah Nur Zahirah,Terengganu; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping, Hospital Sri Manjung dan Hospital Teluk Intan, Perak.
Turut membuat sumbangan adalah Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, Johor serta Hospital Sibu dan Hospital Miri, Sarawak. – MalaysiaGazette