Warganet secara terang-terangan menzahirkan kekecewaan mereka terhadap tingkah laku sesetengah ahli politik ketika ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Sudah muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan sedangkan penularan wabak Covid-19 semakin meningkat menyebabkan tanda pagar #RakyatJagaRakyat menjadi trending di Twitter hari ini.

Mengibaratkan tanda pagar tersebut sebagai luahan hati yang terpendam selama ini, warganet secara terang-terangan menzahirkan kekecewaan mereka terhadap tingkah laku sesetengah ahli politik ketika ini.

Katanya, perebutan kuasa menyebabkan mereka sanggup berbuat apa sahaja meskipun tindakan tersebut boleh mengorbankan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Kebanyakannya merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu sedangkan negeri itu sentiasa mencatatkan kes harian positif Covid-19 tertinggi.

“#RakyatJagaRakyat. Orang politik jaga tanah, kuasa dan harta,” kata pemegang akaun @_jorji

“Pada akhirnya, #RakyatJagaRakyat. Sentiasa,” kata @hanifjamal pula.

“Semuanya bergantung kepada kita. Ahli politik tidak boleh harap. #RakyatJagaRakyat,” kata @NabilHussein

“Mereka tidak pernah peduli kepada kita, jadi mari kita jaga semasa sendiri #RakyatJagaRakyat,” kata @raa

“Ahli-ahli politik boleh berhenti berpura-pura kononnya sayang kepada negara. Sekiranya berlaku gelombang ketiga, ini semua salah mereka kerana mementingkan diri. Sekarang, semuanya bergantung kepada kita #RakyatJagaRakyat,” kata @MABMA.

Malah ada warganet yang menggunakan tanda pagar tersebut untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak mensyaratkan kuarantin 14 hari kepada semua pengembara yang baru tiba dari Sabah sekiranya hasil saringan Covid-19 kali pertama adalah negatif.

Sedangkan peraturan yang dikenakan kepada rakyat biasa yang pulang dari luar negara selama ini perlu menjalani kuarantin 14 hari  walaupun saringan pertama adalah negatif kerana terdapat banyak kes yang mana keputusan adalah positif semasa saringan kedua pada hari ke-13 dijalankan.

Semalam, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu pemberita di Kota Kinabalu, individu yang pulang ke semenanjung dari Sabah tidak diwajibkan kuarantin 14 hari sekiranya disahkan negatif Covid-19 semasa menjalani ujian saringan di lapangan terbang.

“Kerajaan dan ahli-ahli politik gagal menunjukkan kepimpinan melalui teladan, sengaja melanggar perintah Perintah Kawalan Pergerakan dan menukar peraturan mengikut kesesuaian sendiri sahaja. Apakah mereka tidak peduli kepada impak PKP ke aras kehidupan rakyat? #RakyatJagaRakyat,” kata @Muaz.

“LOL..pesakit indeks Kluster Sivagangga pun negatif ketika saringan pertama dan kita sendiri tahu apa yang terjadi selepas itu #RakyatJagaRakyat,” kata @aidilcaroll.

Untuk rekod, Sabah terus mencatatkan kes harian positif Covid-19 tertinggi dengan 98 kes daripada 115 kes yang direkodkan di Malaysia.

Malah, kerajaan juga telah mengeluarkan arahan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna bermula tengah malam ini sehingga 12 Oktober depan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. adalah satu fakta penting yg wajib dilaksanakn dlm politik Malaysia, iaitu menghadkn tempoh memegang jawatan wakil rakyat dan wakil parlimen dari tanpa had kepada 2 -3 penggal sahaja. Itu adalah salah satu vaccine bg penambahbaikkan kpd politik negara.

Comments are closed.