Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan yang diambil ke atas insiden dinding parapet Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn.Bhd. (SUKE) yang menghempap sebuah kereta baru-baru ini bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat tiga undang-undang berbeza yang perlu dipertimbangkan dalam siasatan insiden itu.

Menurut beliau, kini kementeriannya masih menunggu laporan lengkap siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) dan Lembaga Pembinaan Industri Malaysia (CIDB).

“Selepas terima nanti laporan siasatan penuh itu nanti kita akan menentukan bentuk tindakan dan penambahbaikan supaya menjadi pengajaran,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik JKR 2021-2025 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini.

Pada 19 September lalu dinding parapet jatuh lalu menghempap sebuah kereta berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 menyebabkan pemandu kereta terlibat mengalami cedera cedera ringan.

Fadillah berkata, berdasarkan laporan CIDB dan DOSH penambahbaikan menyeluruh yang membabitkan reka bentuk atau kaedah pelaksanaan akan dilakukan. – MalaysiaGazette