KUALA LUMPUR – Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025 merangkumi lima tema strategik dalam memacu industri pembangunan infrastuktur negara.
Menterinya Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, menerusi pelan lima tahun itu, JKR akan memberi penekanan dan tumpuan kepada aspek antaranya kualiti, profesionalisme, produktiviti serta memupuk amalan lestari dalam pelaksanaan projek pembangunan di bawah di kementeriannya.
Kata beliau, pihaknya memberi tumpuan terhadap pelaksanaan menyeluruh sistem Komputer Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) dalam industri pembinaan negara dalam tempoh lima tahun ini.
“Hala tuju pelan ini berasaskan lima tema strategik iaitu kecemerlangan pengurusan aset menyeluruh, pengalaman ko-kreatif bersama pelanggan, pusat kecemerlangan teknikal, memacu kelestarian dan organisasi inovatif.
“Pembangunan pelan strategik ini juga adalah seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) menerusi WKB, JKR dilihat menyumbang terus kepada dua teras strategik utama iaitu Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama dan Transformasi Modal Insan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan pelan itu di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman.
Menurut Fadillah, pelan strategik lima tahun itu dihasilkan lebih mantap, menyeluruh dan komprehensif dengan menambah baik daripada pelan terdahulu yang pernah diketengahkan pihak kementerian sebelum ini yang mana memperbaiki kelemahan lampau.
Tambah beliau, pendekatan pelan kali ini akan dapat mengoptimumkan penggunaan dan memanjangkan jangka hayat aset, menjimatkan perbelanjaan kerajaan, meningkatkan imej kerajaan kerajaan selain membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagi tempoh itu juga, pemerkasaan adaptasi BIM dalam projek pembangunan infrastuktur, JKR turut mensasarkan dengan permulaan 50 peratus dan 80 peratus pada penghujung 2025.
“Kita sangat optimis mencapai sasaran dan misi itu selain turut berhasrat menjadi peneraju pembangunan lestari dengan memacu pembangunan infrastuktur jalan dan bangunan yang seimbang dari aspek, sosial dan alam sekitar,” ujarnya. -MalaysiaGazette