Individu yang membuat perjalanan merentas negeri dari zon merah digalakkan membuat ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) secara sukarela agar dapat memastikan status kesihatan diri sendiri.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Setakat jam 12 tengahari tadi, terdapat 89 kes baharu positif Covid-19 dan dua kematian telah dilaporkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan daripada 89 kes tersebut, hanya tiga kes import manakala 86 lagi adalah penularan tempatan.

Jumlah kes baharu hasil saringan mereka yang pulang dari Sabah merekodkan 25 kes yang melibatkan 24 warganegara Malaysia dan seorang rakyat asing.

Terdapat lima kes saringan pulang dari Sabah dikesan di Selangor; masing-masing tiga kes di Sarawak, Kuala Lumpur dan Terengganu; masing-masing dua kes di Pahang, Perlis dan Kedah; manakala Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Labuan (bukan warganegara) masing-masing mencatatkan satu kes.

Dalam pada itu, Sabah terus merekodkan kes harian tertinggi hari ini dengan 35 kes diikuti Kedah (13 kes), Selangor (10 kes), Johor (lapan kes), Sarawak (empat kes), Kuala Lumpur (tiga kes), Terengganu (tiga kes), Pahang (dua kes), Kelantan (dua kes), Perlis (dua kes), Negeri Sembilan (satu kes), Perak (satu kes), Pulau Pinang (satu kes) dan Labuan (satu kes).

Menyentuh mengenai kematian akibat Covid-19 hari ini, KKM berkata, korban ke-135 merupakan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 46 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang.

Mangsa mula mengalami gejala sejak 21 September 2020 dan hanya di bawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah akibat sesak nafas pada 28 September lalu.

Mangsa meninggal pada hari yang sama dan hasil saringan Covid-19 mendapatinya positif.

Kes kematian ke- 136 pula melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 70 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit barah peringkat akhir.

Si mati telah meninggal dunia pada 26 September 2020 dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau, Sabah. Hasil saringan Covid-19 didapati positif pada 29 September.

Dalam pada itu, tiga kes import yang direkodkan hari ini melibatkan bukan warganegara yang tiba di Malaysia dari Belanda (dua) dan satu dari Indonesia.

Ketiga-tiga kes dilaporkan di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette