BATU PAHAT – Tekong bot nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama empat yang lain terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting di sini pada Jumaat lepas, ditemukan lemas pada 7 malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata mayat Chia Kah Chong, 51, ditemukan nelayan lain yang kebetulan lalu berhampiran lokasi bot dilaporkan terbalik itu.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserah kepada polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, bot dinaiki kelima-lima mangsa dipercayai terbalik setelah dilanda ombak kuat akibat cuaca buruk.
Bagaimanapun seorang mangsa Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang melalui tempat kejadian. – BERNAMA