.Bekalan vaksin Covid-19 dijangka mula diperoleh pada suku pertama tahun 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster baharu hari ini, masing-masing satu di Selangor, Sabah, Putrajaya dan Kedah.

Kluster Jalan Meru di Selangor adalah kes indeks ke 11,148 adalah seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun, mula bergejala sejak 24 September 2020.

Saringan Covid-19 dikesan positif pada 29 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif. Mereka adalah warga tempatan.

”Kontak rapat sedang dikenalpasti dan saringan sedang dirancang oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” kata Ketua Pengarah, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Manakala Kluster Joo Hwa, Sabah pula dikenalpasti di Tawau, Sabah dan merupakan kes ke-10,273, juga lelaki warganegara Malaysia berumur 31 tahun.

Pesakit mula bergejala demam dan batuk sejak 14 September 2020 dan disahkan positif.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat lagi kes positif Covid-19 dan kini dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

”Sehingga 1 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 126 individu telah disaring. Keputusan saringan mendapati lima dikesan positif Covid-19, 11 individu dikesan negatif dan 110 individu masih menunggu keputusan.

”Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” ujarnya.

Kluster Selasih di Putrajaya pula adalah seorang lelaki, 37 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 20 September 2020 dan 24 hingga 27 September 2020.

Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 25 September 2020.

Beliau yang disaring ketika tiba di KLIA pada 27 September 2020 dan dikesan positif pada 28 September 2020.

Dr Noor Hisham berkata, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam didapati positif Covid-19.

Sehingga 1 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 28 individu telah disaring dan tujuh didapati positif, lapan negatif dan 13 lagi masih menunggu keputusan.

Kluster Bah Ketil, Kedah pula dikenalpasti di daerah Baling dan Langkawi, Kedah dari seorang lelaki warga negara, 39 tahun dan pernah ke Tawau, Sabah pada 17 hingga 21 September 2020.

Pesakit mempunyai gejala batuk dan sakit otot bermula pada 24 September 2020 dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Sungai Petani, Kedah.

Saringan Covid-19 kes indeks dikesan positif pada 28 September 2020 dan saringan kontak rapat yang dijalankan mengesan lapan orang lagi positif.

Sehingga 1 Oktober 2020, 12 tengah hari tadi, sejumlah 252 individu telah disaring, yang mana sembilan didapati positif, 203 negatif dan 40 masih menunggu keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast