D Nallan

KLANG – Penggerak Komuniti Negara Parlimen Klang menggesa pihak polis menyiasat kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa berbaur hasutan dan mengelirukan rakyat dengan mengatakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah runtuh.

Naib Ketua Penggerak Komuniti Negara Selangor, D Nallan berkata, Anwar cuba mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) apabila mengumumkan perkara itu sedangkan Anwar sendiri belum mengadap YDPA.

“Paling memeranjatkan apabila Anwar Ibrahim sewenang-wenangnya mengumumkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang!

“Kenyataan yang cukup biadap serta melangkaui hak Yang di-Pertuan Agung menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menyeru rakyat bangkit dan segera menghentikan kegilaan ini. Kami memohon pihak polis menyekat kenyataan ini yang mampu menggungat keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

Terdahulu Nallan bersama 60 ahli Penggerak Komuniti Negara membuat laporan polis terhadap Anwar berhubung kenyataannya dalam satu sidang media, bulan lepas.

Pada 23 September lalu, Anwar dalam sidang media tergemparnya mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin tumbang selepas memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurut Anwar, kerajaan baharu itu adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun tidak menyebut jumlah majoriti yang diperolehinya.

Dalam kenyataan itu, Anwar turut mendakwa majoriti dan sokongan Ahli Parlimen yang diperolehinya itu dalam kalangan wakil rakyat Melayu dan Islam.

Nallan turut mengecam tindakan Anwar itu kerana telah menjejaskan ekonomi negara yang kini sedang dalam proses pemulihan kesan daripada penularan pandemik Covid-19.

“Ia jelas apabila bursa saham hari tersebut (23 September 2020) jatuh merudum sebaik sahaja perkara itu diumumkan Anwar,” katanya.

Nallan turut menyifatkan kenyataan Anwar itu sebagai pengganas kerana telah menjejaskan kestabilan ekonomi.

“Sikap Anwar juga boleh disifatkan sebagai pengganas terhadap keamanan negara dan wajar diambil tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast