Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan Safawi Rasid. Foto Faceboook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim mengucapkan selamat maju jaya kepada penyerang sensasinya, Safawi Rasid yang bakal berhijrah ke kelab Portimonense SC dalam Liga Primeira Portugal.

Menerusi Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Safawi kelahiran Dungun, Terengganu itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA malam ini.

Safawi telah beraksi cemerlang dalam skuad Harimau Selatan sejak melakukan aksi pertama pada 27 Januari 2017.

Pemain berusia 23 tahun ini melakukan 101 penampilan bersama JDT dengan menjaringkan 47 gol dan melakukan 18 bantuan jaringan.

Safawi telah memenangi empat kejuaraan Liga Super, dua Piala Malaysia dan tiga Piala Sumbangsih bersama Harimau Selatan.

Dalam muatnaik perkongsian video terbaharu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat berpelukam dengan Safawi dalam suasana penuh emosi yang menyaksikan pemain itu mengalirkan air matanya.

Tunku Ismail merupakan individu yang membawa Safawi dari T-Team empat tahun lalu hingga berjaya mengembangkan karier Safawi menjadi pemain berbisa Harimau Malaya.

“Selamat Maju Jaya kepada Safawi. Saya berdoa semoga anda berjaya. Pintu kelab JDT sentiasa terbuka untuk Safawi. This is not the end, it’s only the beginning,” katanya yang juga Tunku Mahkota Johor – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Gud luck Safawi. Jgn home sick lama lama. Fokus pada matlamat jd pemain antarabangsa terbaik dari Malaysia. Tahniah juga TMJ sbb berjaya ubah lanskap bola sepak negara.

Comments are closed.