MILAN – Episod perebutan Barcelona dan Bayern Munich untuk mendapatkan Sergino Dest berakhir selepas pemain muda Amerika Syarikat (AS) itu memilih untuk menyertai kelab Sepanyol tersebut dari Ajax Amsterdam.
Pemain bek kanan berusia 19 tahun itu dibeli dengan harga €21 juta (RM102.2 juta) dengan €5 juta bonus tambahan bergantung kepada pencapaiannya di kelab Catalan tersebut.
Berdasarkan kenyataan di laman web rasmi Barcelona, Dest telah bersetuju untuk mengikat kontrak selama lima tahun bersama klausa pelepasan bernilai €400 juta (RM1.95 bilion).
Nama Dest melonjak selepas berjaya menembusi skuad utama Ajax dari akademi pada musim lalu dan telah beraksi 30 perlawanan dalam semua pertandingan.
Malah dia juga telah mengumpul tiga kaps bersama skuad kebangsaan AS.
Kehadiran pemain muda tersebut adalah bagi menggantikan pemain Portugal, Nelson Semedo yang telah menyertai Wolverhampton Wanderers.
Perkembangan ini akan mengukuhkan lagi usaha Ronald Koeman untuk membentuk ‘Barcelona baharu’ yang terdiri daripada pemain-pemain muda.
Selain Dest, pasukan tersebut juga memiliki Francisco Trincao, Pedri, Ansu Fati, Carles Alena dan Frenkie de Jong.
Bayern sebelum ini meluahkan rasa terkilan kerana ‘dikhanati’ selepas Dest memutuskan untuk menyertai Barcelona selepas menyatakan persetujuan awal kepada kelab Bundesliga tersebut. – MalaysiaGazette