Datuk Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan Ahli Parlimen Batu Sapi, mendiang Datuk Liew Vui Keong seorang yang komited dalam mendorong pembaharuan hak asasi manusia di negara ini.

Suhakam menganggap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merealisasikan pelbagai pembaharuan undang-undang, termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori, pengenalan undang-undang baharu mengenai hak kepada maklumat dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).

Katanya, pemimpin Parti Warisan itu juga menyedari perlunya kesedaran hak asasi manusia terutama di Parlimen.

“Pada 2019, beliau merealisasikan harapan Suhakam selama 20 tahun supaya laporan tahunan suruhanjaya dibahaskan di Parlimen.

“Laporan Tahunan Suhakam 2018 dibahaskan di Parlimen pada 5 Disember 2019 buat pertama kali sejak 1999 dan ini 1 kejayaan besar dalam usaha berterusan Suhakam mengetengahkan isu hak asasi manusia yang mendesak di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhakam juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Vui Keong, 60, meninggal dunia jam 11.50 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Hak asasi mnusia acuan barat ya ..klu acuan islam bukn mcn tu..so suhakam tak pyh lh nk pjunagkn hak asasi manusia sgt lh ya..tak sesuai utk ngra islam.

Comments are closed.