Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo bersama Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA), Datuk Hasry Sham Haji Chasmen (kanan) menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada penerima pada program sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU), asnaf, anak yatim, dan ibu tunggal kawasan Parlimen Ampang di Ibu Pejabat PUMMA, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan pemberhentian pekerjaan beramai-ramai sejak Mac lalu kini telah berjaya mendapat tempat dan pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor.

Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA), Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, ia adalah hasil usaha bersama 9,700 usahawan dalam NGO itu dalam membantu rakyat yang kehilangan sumber pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah melalui PUMMA sendiri, kami telah menambah kakitangan masing-masing lebih kurang 10,000 pekerja di seluruh 9,700 usahawan yang terlibat.

“Syarikat saya sendiri iaitu Moccis Furniture Sdn Bhd telah menambah sebanyak 40 orang ketika pelaksanaan PKP, Mac lalu.

“Kami mengambil kakitangan-kakitangan dalam kalangan orang muda yang terlibat dalam pemberhentian pekerjaan beramai-ramai termasuk dengan pelajar-pelajar lepasan universiti dan kolej,” katanya ketika ditemui dalam Program Sumbangan Bantuan Keperluan anjuran PUMMA di Taman Tasek Tambahan, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Antara sektor pekerjaan yang telah menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan itu ialah dalam industri makanan, minuman, perkilangan, perladangan, pertanian dan penternakan.

Sementara itu, dalam mendepani kepayahan rakyat berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 yang semakin meningkat sejak 26 September lalu, pihaknya turut menyalurkan bantuan barang keperluan kepada golongan yang memerlukan.

Menurut Hasry Sham, penyaluran bantuan kemanusiaan ini merupakan siri jelajah kali ketujuh digerakkan pihaknya ke seluruh negara yang bermula dengan 150 orang penerima.

“Kali ini kita panggil kesemua penerima untuk hadir sendiri ke ibu pejabat PUMMA dengan sokongan pemuda-pemuda yang ada di sekitar kawasan terlibat untuk menghantar bantuan sehingga ke rumah.

“Waktu ini amat sesuai semasa PKPP ini di mana penerima lebih ramai daripada kebiasaannya.

“Dahulu kita buat 150 hingga 200 satu Parlimen tetapi kerana Covid-19 kita dapat 900 hingga 1,000 penerima di mana lima kali ganda daripada sebelum ini.

“Kali ini kita ada 900 penerima, tapi kita buat dua sesi iaitu hari ini dan 11 Oktober di mana jangkaan kami sehingga jam 2 petang 450 penama pada minggu ini dan minggu depan pula 450 penama lagi.

“Jika penerima lebih jangkaan, kita sentiasa bersiap sedia menyediakan barang-barang tambahan untuk penerima-penerima lain,” katanya.

Katanya lagi, sumbangan barang keperluan itu diagihkan kepada semua pihak yang layak seperti keluarga daif, miskin, ibu tunggal, asnaf, OKU, saudara-saudara baharu atau individu yang terkesan langsung akibat Covid-19.

“Terdapat syarikat-syarikat lain di bawah PUMMA sendiri seperti Moccis Furniture Sdn Bhd, Rizal Klasik Sdn Bhd, Todak Gaming Sdn Bhd serta orang perseorangan dan ahli-ahli pertubuhan sendiri berganding bahu mengumpul dana tersebut dan sentiasa mencukupi untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan kami.

“Orang ramai boleh berhubung dengan pihak PUMMA melalui media sosial www.facebook.com/pummamalaysia/ atau mesej terus, dan boleh menghubungi nombor telefon yang tertera untuk maklumat berkaitan dengan sumbangan kami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette