KUALA LUMPUR – Prolintas Expressway Sdn. Bhd. (PESB), pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan menutup sepenuhnya Kawasan Rehat dan Rawat Elmina (arah utara) selama empat bulan bermula 7 Oktober 2020.
Ia dijadualkan dibuka semula pada pertengahan Februari 2021.
Oleh itu, semua gerai dan kemudahan seperti tandas dan surau tidak beroperasi sepanjang tempoh berkenaan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja
penambahbaikan.
Kerja-kerja penambahbaikan ini adalah komitmen berterusan Kumpulan Prolintas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh
rayanya.
Untuk memastikan keselesaan pengguna tidak terkesan, GCE akan menyediakan kemudahan sementara di kawasan Hentian Sebelah Lagong, lebih kurang 10 km dari Kawasan Rehat dan Rawat Elmina (utara).
Antara kemudahan yang disediakan di Hentian Sebelah Lagong adalah tandas, surau, gerai makanan (food truck) serta tempat parkir/rehat.
Sebanyak enam buah tandas bergerak juga telah mula disediakan sebagai tambahan kepada tandas sedia ada di hentian tersebut.
Selain itu, bagi memastikan keselamatan pengguna ketika berada di situ, GCE akan menugaskan pengawal keselamatan 24 jam sehari dan memasang lampu limpah bagi memastikan kawasan sentiasa terang dan selamat. – MalaysiaGazette