Orang ramai semakin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid- 19 yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan memakai pelitup mulut dan hidung di tempat awam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2020

KALAU kita kata demam denggi dan Covid-19 adalah sama, mungkin ada pihak yang
tidak bersetuju. Kenapa boleh berlaku begini? Kerana kita tiada ilmu pengetahuan yang
cukup. Apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan kempen
kesedaran, kita tak berminat nak ikut.

Sebenarnya denggi dan Covid-19 memang punya persamaan. Bahaya antara dua wabak
ini juga adalah sama iaitu mampu membunuh manusia. Cuma, demam denggi kita boleh
nampak penularannya melalui nyamuk aedes, sedangkan Covid-19 tidak boleh nampak
pada mata kasar.

Bayangkan, di sekeliling kita sudah lama ada wabak berbahaya ini (denggi). Namun
masyarakat kita seolah-olah tak ambil kisah sangat. Apatah lagi di musim Covid-19
sedang menjadi pandemik ini, denggi bagaikan dilupakan terus.

Buat masa sekarang tiada sebarang spesifik ubat dijumpai. Hanya bergantung kepada
rawatan terhadap simptom sahaja. Pesan KKM kepada masyarakat sejak 40 tahun
dahulu, amalkan 10 minit seminggu untuk cari, periksa dan musnah kawasan habitat
nyamuk aedes.

Setakat ini, kawalan pencegahan dari wabak berkenaan seperti disarankan oleh
KKM adalah ‘vaksin’ paling berkesan untuk denggi, juga untuk Covid-19.
Pokoknya, jangan ‘keras kepala’ atau degil apabila KKM memberi nasihat atau
panduan kesihatan.

Untuk proses ini, pujian wajar diberikan kepada KKM kerana telah memperkasakan
sebuah badan yang digelar “Communication for Behavioural Impact” atau “Komunikasi
untuk Perubahan Tingkahlaku”, atau singkatannya COMBI.

COMBI diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2001
sebagai salah satu strategi untuk menangani masalah Denggi di Malaysia. Ia
menjalankan banyak aktiviti berteraskan pencegahan dari Aedes, antaranya lawatan ke
premis, edaran risalah kesedaran, hebahan maklumat melalui poster, media sosial dan
kerjasama dengan media.

Organisasi ini juga melakukan nasihat individu, latihan, gotong royong, ceramah
berkelompok, perbincangan kumpulan berskala kecil, tunjuk ajar, pameran, dialog,
forum awam, tayangan video dan pelbagai lagi.

Sedar tak sedar, bilangan COMBI mengikut negeri sehingga tahun ini sudah mencecah
lebih 26,000 ahli di lebih 3,000 lokaliti. Difahamkan, negeri teramai yang mempunyai
keahlian adalah Negeri Sembilan, diikuti Selangor dan seterusnya Terengganu. Negeri
paling rendah keahlian COMBI ialah Labuan, diikuti Melaka dan Pahang.

Namun, COMBI harus lebih fokus kepada asas utama penubuhannya, selari
dengan namanya sendiri, yakni membentuk sebuah sikap masyarakat untuk
menjadi ‘benteng utama’ memberhentikan penularan wabak Denggi.

Bukan hanya bergantung kepada program-program yang telah sedia ada dilaksanakan,
namun perkara yang paling penting untuk COMBI ini adalah mengenai bagaimana sikap
masyarakat mampu diubah sehingga negara kita mencapai zero (0) kes Demam Denggi.

Justeru, masyarakat harus terus peka dengan setiap wabak-wabak yang sedang
melanda lokaliti kita ini. Jika nak diikutkan, wabak Denggi jauh lebih parah berbanding
wabak Covid-19. Bayangkan, dalam masa empat bulan pertama tahun ini, mereka yang
positif Covid-19 mencecah angka 6,380 kes, tetapi untuk yang positif Denggi mencecah
angka 40,973 kes keseluruhannya.

Sarfarizmal Saad
Wilayah Persekutuan Putrajaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast