SKMM

KUALA LUMPUR- Akaun Twitter @MyJAKIM yang cuba menyamar sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akhirnya digantung.

@MyJAKIM yang berselindung sebagai sebuah akaun parodi telah memuat naik pelbagai hantaran bersifat menghina dan membenci agama Islam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu sedemikian.

“SKMM ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Twitter atas kerjasama pantas yang diberikan dalam menggantung akaun Twitter @MyJAKIM, yang didapati cuba menyamar sebagai JAKIM dengan niat untuk memuat naik hantaran-hantaran bersifat menghina serta mengandungi ucapan kebencian terhadap agama.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu sedemikian dan laporkan kepada pihak berkuasa untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Sejak dua hari lalu, pelbagai pihak telah menggesa Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, JAKIM dan pengguna-pengguna Twitter yang lain supaya membuat laporan terhadap akaun tersebut.

Selain menggunakan handle @MyJAKIM yang sama dengan tweethandle JAKIM sebenar, akaun tersebut turut menggunakan logo dan lambang yang hampir sama dengan agensi kerajaan itu. Bezanya terdapat tulis kecil pada logo berkenaan yang tertulis “Just Kidding” selain profilnya yang mendakwa ia adalah satu akaun parodi.

Bagaimanapun, ianya tetap boleh mengelirukan pengguna terutamanya jika orang ramai hanya sekadar melihat kepada skrin layar sahaja tanpa membuka profil akaun berkenaan.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.