Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bayi perempuan berusia setahun menjadi mangsa termuda kes kematian pandemik Covid-19 di negara ini yang meningkat kepada 141 kes selepas pertambahan empat kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu adalah kes kematian ke-140 iaitu kes ke-12432 yang merupakan  warganegara Malaysia.

Jelas beliau, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu.

“Keadaan kesihatan kes itu didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pukul 4.25 petang,” katanya pada sidang media dari kediamannya di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, kes kematian ke-138 iaitu kes ke-11154 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun.

Katanya, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September lalu dan saringan Covid-19 didapati positif pada 26 September lalu.

Menurut beliau, keadaan mangsa didapati merosot dan disahkan meninggal dunia kelmarin 6.50 pagi.

“Kes kematian ke-139 iaitu kes ke-12431 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September lalu. Saringan COVID-19 didapati positif pada 30 September dan mangsa disahkan meninggal dunia kelmarin pukul 5.05 pagi.

“Kes kematian ke-141 iaitu kes ke-13067) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun di mangsa mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.

“Mangsa ditemui tidak sedar diri pada 5 September lalu pukul 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang. Mangsa didapati tidak bernafas dan disahkan meninggal dunia semalam pukul 7.50 pagi dan saringan Covid-19 dikesan positif,” katanya. – MalaysiaGazette