KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, pelanggan Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) yang mahu membuka akaun bank hanya perlu memuat turun aplikasi Apply@HLB tanpa perlu mengunjungi bank atau terminal layan diri.

Bank berkenaan telah beralih sepenuhnya secara digital, oleh itu pelanggan boleh membuka akaun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja dan kad debit akan kirim kepada para pelanggan.

”Cara perbankan mudah dan lancar ini bersesuaian dengan situasi semasa di mana Covid-19 terus menimbulkan kerisauan berhubung kesihatan, selain mencetuskan peralihan kepada gaya hidup digital,” kata Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB.

Dengan aplikasi Apply@HLB, membuka akaun bank boleh dilakukan dengan tiga langkah mudah bila-bila dan di mana sahaja. Pelanggan hanya memerlukan MyKad untuk proses ini.
1. Sahkan identiti dengan kad pengenalan dan swafoto
2. Isikan maklumat peribadi
3. Cipta nama pengguna dan kata laluan untuk HLB Connect, bagi mengakses perkhidmatan perbankan dalam talian dan mudah alih setelah akaun dibuka

Selepas akaun dibuka, pelanggan boleh memindahkan wang dalam talian dari akaun lain, serta bermula melaksanakan transaksi melalui HLB Connect seperti pembayaran dan pemindahan dalam talian.

Sementara menunggu kad debit tiba, pelanggan boleh melakukan pengeluaran wang di ATM tanpa kad dengan menggunakan ciri Connect ATM’.

Warga negara Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak memohon pembukaan akaun HLB melalui aplikasi ‘Apply@HLB’, yang boleh dimuat turun di Google Play, App Store dan Huawei AppGallery. – MalaysiaGazette