Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu masa untuk mendakwa individu-individu tertentu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc).

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki berkata, Timbalan Pendakwa Raya pada dasarnya sudah setuju untuk melakukan pendakwaan.

Namun disebabkan seorang individu terbabit berada di Sabah dan perlu dikuarantin maka pendakwaan ditangguhkan.

“Saya boleh bagi hint, sebab orang akan tanya bila lagi. Sebenarnya kami tengah atur masa.

“Tetapi ada seorang mungkin berada di Sabah, mungkin kena kuarantin. Kita kena aturkan masa,” katanya dalam wawancara melalui macc.fm.

Azam menegaskan, SPRM tidak melindungi mana-mana pihak berhubung pendakwaan kes penjualan hartanah ini cuma menunggu masa sahaja.

The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi MARA, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik, termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya di Australia. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bagus Ketua Pesuruhjaya yang baharu, Datuk Seri Azam Baki ni! Berbanding yang terdahulu bagaikan langit dengan bumi!

    Jom sama2 beri kerjasama 1000% kepada SPRM!

  2. Cuma satu jelah.. betul2 takde ke org swasta yg kena sauk sekali.. kalau mereka ni suci dlm debu mcm hairan jugak langsung takde rasuah..

Comments are closed.