KUALA LUMPUR – Kesemua individu tahanan reman terlibat siasatan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram dilepas dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.
Sumber SPRM berkata ia melibatkan sembilan individu termasuk tujuh anggota dan pegawai polis yang kemudian diserah ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berikutan kes diklasifikasi sebagai jenayah bersindiket.
“Mereka hanya dilepas dengan jaminan SPRM…kesemua mereka diperlukan untuk siasatan lanjut polis. Dalam erti kata lain, mereka masih belum dibebaskan,” kata sumber berkenaan kepada Bernama.
Kesemua pegawai dan anggota polis terbabit disyaki menyalahgunakan kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.
SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.
Sebelum ini, SPRM turut memanggil pasangan artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram terbabit.
— BERNAMA