Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu polis melindungi sindiket pengubahan wang haram dan “Macau scam” semakin hangat dengan beberapa ketua polis daerah dilaporkan telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.

China Press melaporkan, pegawai atasan polis dari Kuala Lumpur, termasuk ketua polis daerah, telah dipanggil ke SPRM pada Jumaat.

Mereka yang memberi keterangan termasuk pegawai atasan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, beberapa ketua polis daerah dan pegawai siasatan jenayah.

Pegawai berkenaan dilaporkan dipanggil memberi keterangan berhubung isu polis melindungi sindiket haram.

Sekurang-kurangnya tujuh pegawai atasan dilaporkan dipanggil dan sesetengah mereka malahan mungkin ditahan untuk siasatan lanjut.

Sumber berkata, selepas lapan orang polis ditahan, pihak berkuasa kini mensyaki kemunculan satu sindiket dalaman polis yang melindungi kumpulan yang melakukan perbuatan haram.

Perkembangan terkini itu juga menandakan kemungkinan terdapat lebih ramai orang akan ditahan.

SPRM sebelum ini telah melumpuhkan satu sindiket yang terlibat dengan “Macau scam” di negara ini dan berjaya menahan 20 orang untuk membantu siasatan, selain membekukan 730 akaun bank membabitkan simpanan RM80 juta.

Orang yang ditahan termasuk 11 warga tempatan, seorang rakyat China dan lapan polis, termasuk dua pegawai atasan. – MalaysiaGazette