KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar seramai 11 lagi pakar ke Sabah dalam usaha membantu merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripada pakar tersebut merupakan pakar kesihatan awam manakala lapan lagi adalah pakar perubatan.
Turut dihantar ke negeri itu katanya, beberapa orang lagi pegawai perubatan.
“Secara keseluruhannya setakat ini 522 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu. Ini sama ada dalam Sabah atau dari negeri-negeri lain.
“KKM juga menyeru penglibatan lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, bagi tujuan itu koordinasi akan dijalankan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).
“Terima kasih diucapkan kepada semua anggota kesihatan dan perubatan dari agensi kerajaan serta semua sukarelawan yang telah sama-sama membantu memerangi Covid-19 di
Malaysia,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham memaklumkan, KKM sentiasa memastikan fasiliti yang digunakan termasuk peralatan perlindungan peribadi (PPE) mencukupi di semua hospital seluruh Malaysia termasuk di Sabah.
Jelasnya, terdapat 19 jenis PPE dan stok purata bagi keseluruhan di seluruh negara adalah melebihi dua hingga tiga bulan.
Katanya, kawasan yang mengalami kekurangan dikesan awal dan stok tambahan akan dihantar segera.
“Pada masa yang sama, kelulusan pusat telah diterima pada 2 Oktober bagi permohonan perolehan secara darurat untuk PPE bagi negeri Sabah memandangkan situasi lebih meruncing di sana,” kata beliau. – MalaysiaGazette