KUALA LUMPUR- Kenanga Investment Bank Research bimbang dengan tindakan MyNews Holdings Bhd. untuk memperkenalkan kedai serbaguna dari Korea, CU ke Malaysia.
Kehadiran CU itu berpotensi ‘menelan’ cawangan-cawangan MyNews dan kedai-kedai lain selain mempunyai pelaksanaan berisiko, kata firma penyelidikan itu.
“Walaupun pihak pengurusan menegaskan, CU akan menawarkan produk berbeza seperti jenama peribadinya, Heyroo dan produk-produk eksklusif Korea, di samping lokasi kedai yang tampil berbeza berbanding pemain sedia ada, kami tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang terhadap kemungkinan kedai-kedai CU akan menyesakkan lagi pasaran yang memang sudah lama kompetitif.
“Ia juga boleh membunuh jenama MyNews,” katanya.
Tambah Kenanga, risiko pelaksanaan jenama baharu itu masih tidak diketahui apatah lagi dengan ketidaktentuan pasaran semasa serta pelan peluasan Maru Café milik MyNews.
Bagaimanapun menurut firma penyelidikan itu, produk-produk yang akan dibekalkan ke cawangan baharu CU akan dikeluarkan oleh pusat pemprosesan makanan halal berlesen, sekali gus meningkatkan sumbangan kepada kadar penggunaan sehingga 35 peratus.- MalaysiaGazette