Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof (kanan) menunjukkan kenderaan disamun Geng Kana yang berjaya dirampas di Sepang hari ini.

SEPANG – Dua lelaki disyaki anggota Geng Kana yang aktif di mencuri kenderaan di Lembah Klang diburu polis, kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Menurutnya, salah seorang saspek yang dikehendaki polis adalah lelaki bernama Supramaniam G. Arumugam, 43, berasal dari Dengkil yang dikenalpasti sebagai ketua sindiket kumpulan tersebut.

Seorang lagi anggota geng itu yang turut diburu polis adalah bernama Ananda yang mana identiti sebenar belum dapat dikenal pasti.

“Kedua-dua suspek ini masih bebas di luar dan polis sedang melipatgandakan usaha pemburuan untuk menjejaki dan menahan mereka,” ujar beliau dalam sidang media hari ini.

Tambah Wan Kamarul Azran, ketua kumpulan penjenayah itu mempunyai 10 rekod kes jenayah lampau membabitkan kes curi.

Menurut beliau, sindiket berkenaan bergiat aktif sejak penghujung tahun lalu di mana modus operandi mereka mencuri dan meleraikan komponen kenderaan.

Pada 5 Oktober lalu, menurutnya, polis menerima laporan dari seorang mangsa yang mendakwa setor kenderaan miliknya yang terletak di Cyberjaya dekat sini telah dipecah masuk.

Dalam insiden itu, katanya, mangsa telah mengalami kerugian apabila dua buah lori bersama peralatan telah disamun dan dilarikan sindiket penjenayah itu sebelum membawa kenderaan itu ke sebuah gudang peleraian komponen haram di Dengkil.

“Bagaimanapun tiga hari kemudian iaitu 8 Oktober lalu, polis berjaya menangkap tujuh suspek geng Kana itu yang terdiri dari seorang berbangsa Melayu dan masing-masing tiga dari bangsa India dan Myanmar di Kampung Pulau Meranti,Puchong.

“Susulan tangkapan itu,polis hasil pemeriksaan lanjut polis berjaya merampas sebuah forklift jenis Toyota,dua buah lori Isuzu, dua buah kereta Proton Iswara dan masing-masing sebuah lori jenis Mitsubsihi, Daihatsu, Ford Ranger dan sebuah jengkaut,’ ujar beliau.

Malah tegas Wan Kamarul Azran, kesemua suspek itu berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun manakala dua daripada mereka mempunyai lima rekod jenayah lampau bersaungkut kesalahan dadah.

Kejayaan tangkapan itu katanya membolehkan polis telah menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi kenderaan membabitkan kawasan sekitar Sepang, Serdang dan Wangsa Maju dengan nilai rampasan sebanyak RM400,000,” tegas beliau.

Polis masih meneruskan tindakan pemburuan kedua-dua suspek itu yang masih bebas di luar dalam kes disisat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379 A Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast