PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KALABAKAN – Pasukan keselamatan memasang kawad berduri bagi menutup tiga laluan tikus yang dikesan di Felda Umas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP, Peter Umbuas berkata, penutupan itu bagi menghalang kawasan itu dijadikan laluan haram sekali gus sebagai usaha mencegah penularan Covid-19 dalam komuniti.

“Polis bersama agensi keselamatan lain kini giat melakukan kawalan di semua laluan Felda Umas seiring penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, mulai semalam.

“Terdapat empat laluan keluar masuk di sini, iaitu tiga lorong tikus yang dikenal pasti serta pintu masuk utama Felda Umas,” katanya selepas meninjau pelaksanaan PKPD di Felda Umas di sini, hari ini.

Peter dalam pada itu berkata, pihaknya juga akan menghantar pasukan pemantau bagi memastikan penduduk di Felda Umas, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya mohon kerjasama semua penduduk khasnya para peneroka dan kakitangan Felda bagi membantu memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya.

Menurut beliau, kawalan ketat di Felda Umas itu dilaksanakan pihaknya bersama Angkatan Tentera, Polis Bantuan Felda Umas serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Pelaksanaan PKPD di Felda Umas melibatkan 800 rumah selepas dikesan peningkatan kes Covid-19 di kawasan itu. – Bernama