Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Pengarah Eksekutif Hartasuma Ropeways Sdn Bhd, Tan Sri Ravi Menon merasmikan Majlis Pelancaran Pembangunan Kereta Kabel Bukit Bendera di Taman Botani, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap projek kereta kabel Bukit Bendera di sini, tidak gersang budaya.

Beliau yang juga menteri kewangan menyarankan agar reka bentuk kereta kabel pusat peranginan itu memaparkan aspek budaya masyarakat Pulau Pinang.

Katanya, beliau percaya projek ini juga bakal memberi impak tinggi dalam memacu pembangunan negeri sebagai hub pelancongan dan sektor pembuatan di rantau Asia Tenggara.

“Majlis ini istimewa buat saya dari segi nostalgia kerana pengalaman saya mendaki Bukit Bendera jalan kaki pada waktu muda dahulu, kini saya kembali ke sini untuk merasmikan projek kereta kabel sebagai langkah kemajuan.

“Apabila bicara soal pembangunan baharu, saya sangat terkesan dengan kata-kata Mark Twain yang menyebut tentang keperluan binaan bangunan yang mengambil kira aspek seni binanya di mana yang utama ialah soal budaya, jangan gersang budaya.

“Selain itu, ia juga penting untuk kita terus memelihara keunikan kebudayaan Pulau Pinang sementara memacu pembangunan yang pesat demi kemudahan dan keselesaan masyarakat,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong Kim Sing dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri M. Ravindran.

Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Kereta Kabel Bukit Bendera di Taman Botani, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

Tambah Anwar, pelaksana projek ini antara bukti Pulau Pinang berada dalam landasan betul di bawah pentadbiran Kon Yeow.

“Projek kereta kabel ini dijangka siap dibina pada tahun 2026.

“Selain itu, kita menjangkakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas serta Projek LRT (Transit Aliran Tinggi) juga bermula tahun ini,” katanya.

Bukit Bendera merupakan destinasi tarikan utama pelancong yang terkenal dengan kepelbagaian ekologi, sejarah yang kaya, laluan mendaki yang terkenal, dan pemandangan panorama di puncaknya.

Untuk rekod tahun lalu, Bukit Bendera menerima 1.67 juta pengunjung, menghampiri angka pra-pandemik iaitu sebanyak 1.9 juta pengunjung pada 2019.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, penambahan sistem kereta kabel ini akan menyediakan pilihan kedua amat diperlukan untuk menaiki bukit, sekali gus mengurangkan tekanan kepada tren funikular dan selari dengan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (2021-2030) serta Wawasan 2030 Pulau Pinang.

“Jajaran kereta kabel ini akan bermula dari stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak peranginan berkenana iaitu di belakang Balai Polis Bukit Bendera.

“Laluan kereta kabel ini adalah sepanjang 2.73 kilometer dan akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang dari 10 minit.

“Kereta kabel ini akan berfungsi sebagai pintu masuk ke Rizab Biosfera Bukit Bendera, yang merupakan salah satu Rizab Biosfera UNESCO, memacu transformasi Bukit Bendera dan kawasan sekitarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast