Sebanyak 75,000 kit ujian Covid-19 iaitu RTK-Antigen telah dihantar ke Sabah menggunakan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia hari ini.- Gambar FB KP Kesihatan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 75,000 kit ujian Covid-19 iaitu RTK-Antigen telah dihantar ke Sabah menggunakan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi perkara itu di laman Facebook berkata, bekalan sebanyak 25,000 lagi stok akan dihantar ke negeri itu minggu hadapan.

“Pagi ini stok RTK Antigen yang baharu telah tiba di Sabah. Sebanyak 75,000 stok telah dihantar dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Sebanyak 25,000 lagi stok RTK Antigen akan dihantar ke negeri Sabah pada minggu hadapan iaitu dijangka bagi kegunaan selama satu bulan.

“Terima kasih kepada bantuan semua pihak, terutamanya TUDM dalam menjayakan penghantaran ini,” tulis Noor Hisham.

Beliau turut mengepilkan beberapa keping gambar bersama hantaran Facebook itu yang menunjukan kotak mengandungi kit ujian tersebut.

Untuk makluman RTK Antigen digunakan oleh petugas KKM ketika melakukan saringan Covid-19 bagi memperoleh keputusan lebih cepat.

Kerajaan sebelum ini melakukan saringan dan ujian menerusi penggunaan RT-PCR. – MalaysiaGazette