Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah bercakap kepada media selepas melakukan pemantauan sekatan jalan raya berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Maxim Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Lebih 100 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ditugaskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkan bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, daripada jumlah itu, enam anggota akan ditempatkan di setiap sekatan jalan raya (SJR) mengikut giliran dan enam lagi basi pasukan pemantauan pematuhan.

“Setiap shif sekatan jalan raya kita ada enam anggota untuk tiga SJR dan pasukan pematuhan pula enam orang setiap shift dengan empat pasukan.

“Secara keseluruhannya lebih100 anggota dan pegawai polis dari IPD Sentul ditugaskan bagi kedua-dua operasi ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan pematuhan PKPB di Jalan Sentul hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak tiga SJR dijalankan di dalam daerah Sentul sepanjang pelaksanaan PKPB di mana satu daripadanya terletak di Jalan Sentul berdekatan plaza One Maxim.

“Dalam Daerah Sentul, kita ada satu SJR secara tetap di sini (Jalan Sentul, bersebelahan One Maxis) dan lokasi SJR ini mungkin berubah bergantung kepada situasi.

“Kita juga ada SJR-SJR secara bergerak, mungkin kita tengok kepada kesesuaian dan kita akan letakkan SJR ini. Kita ada dua ataupun tiga di sini di lokasi berlainan,” jelasnya.

Di samping itu, pihaknya juga mempunyai pasukan-pasukan pemantauan secara rondaan berjalan kaki untuk buat pemeriksaan.

“Kedai makan memang kita akan buat tinjauan itu dilakukan oleh pasukan pematuhan di premis-premis makan, dan mematuhi satu meja dua orang duduk, mereka tutup premis pukul 10 malam,” katanya.

Ditanya tentang kes positif Covid-19 di dalam daerah Sentul, beliau bagaimanapun memberitahu setakat hari ini, kawasan itu tidak dilaporkan mempunyai sebarang kes wabak itu.

“Secara keseluruhan kes positif Covid-19 tidak ada dan saya tidak terima sebarang laporan.

“Pegawai kesihatan daerah memberi kerjasama yang baik kepada kita dan mereka akan memaklumkan kepada kita dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette