Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah memeriksa penunggang motosikal semasa melakukan pemantauan sekatan jalan raya berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Maxim Sentul, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis menegur sikap segelintir pemandu e-hailing yang menghantar makanan melebihi waktu yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kalau kedai tutup pukul 10 malam bermakna pesanan makanan kena dibuat lebih awal. Jadi, mereka telah buat pesanan dan menghantar ke destinasi paling lewat pun pukul 10 malam.

“Selepas waktu itu, pemandu e-hailing tidak sepatutnya berada di jalan raya,” tegas Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan pematuhan orang ramai di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Sentul berdekatan One Maxim hari ini.

Dalam pada itu, S. Shanmugamoorthy menasihati mana-mana pengguna jalan raya dikehendaki menurunkan cermin kenderaan masing-masing khususnya yang menggunakan cermin gelap ketika melalui SJR bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan oleh anggota keselamatan.

“Saya lihat tadi ada yang cermin gelap jadi kita tak dapat melihat berapa ramai duduk di dalam kereta, kita minta kerjasama turunkan cermin supaya kita dapat lihat berapa orang di dalam kenderaan.

“Kita tidak mahu menyusahkan masyarakat, mereka boleh menjalankan aktiviti seperti biasa cuma patuhi SOP (prosedur standard operasi),” katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak berada dalam kenderaan lebih dari dua orang dan hanya keluar untuk memberi barang keperluan dan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan keluar rumah.

“Macam pagi tadi pun di satu tempat lain saya lihat ada seorang VIP dengan pembantu peribadi, pemandu dan isterinya.

“Memang dua kakitangan ini perlu tapi di pejabatlah, tak semestinya mereka berada di dalam satu kereta,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di pasar harian dan pasar borong di sekitar Sentul juga mendapati tahap pematuhan orang ramai sangat baik.

Sementara itu, menurutnya, sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul atas pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP sejak PKPB dikuatkuasakan semalam.

Menurut S. Shanmugamoorthy, walaupun tahap kepatuhan SOP itu di daerah Sentul mencecah 95 peratus setakat ini namun masih ada segelintir tidak mematuhinya.

“Minggu ini saja kita ada 10 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP.

“Ini termasuklah kesalahan tidak memakai pelitup muka, satu kenderaan dinaiki lebih dua orang dan premis makanan tidak ditutup tepat jam 10 malam,” katanya.- MalaysiaGazette