JOHOR BAHRU – Pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan dekat Plaza Pelangi di sini, Sabtu lalu, dijatuhi hukuman penjara enam tahun denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.
Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan tersebut selepas Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Suhaila turut memerintahkan Nur Fatin agar dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.
Nur Fatin, seorang pekerja kilang, didakwa menyebabkan kematian anggota tentera Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, di persimpangan lampu isyarat Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada jam 8.24 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tujuh bulan dengan perintah pengawasan selama dua tahun oleh Majistret R. Salini.
Hukuman penjara itu tersebut dijalankan secara berasingan.
Terdahulu, dalam rayuan pertuduhan utama, Nur Fatin menzahirkan permohonan maaf dan kekesalannya kepada keluarga mangsa atas perbuatan yang dilakukannya.
Dia turut memohon agar mahkamah mengenakan hukuman dengan mengambil kira tanggungjawabnya terhadap keluarga yang menyara kedua ibu bapa dan adik beradik.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Tengku Abdul Rahman dan Noridayu Md Kassim meminta mahkamah memberi hukuman setimpal kerana berpendapat kesalahan itu tidak boleh dipandang remeh.
Dalam sesi mahkamah yang sama, tunang wanita itu, Nuraiman Fathi Mohd Zukki, 23, yang juga pemilik kereta Perodua Myvi itu, dijatuhi hukuman denda RM3,300 selepas mengaku bersalah salah atas tiga pertuduhan.
Dia dakwa membenarkan tunangnya memandu kereta tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan kenderaan tiada insurans. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 13 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Suhaila turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama setahun bermula hari ini.
— BERNAMA
Harap pemandu2 mabuk (todi & dadah) lain dahulu yang menyebabkan kemalangan kepada pengguna2 atau orang awam juga dikenakan hukuman yang sama!