KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyelaraskan waktu operasi 46 cawangannya di negeri Sabah dan Lembah Klang.
Langkah ini susulan daripada pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan.
Bank Islam berkata, sejumlah 31 cawangannya berada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang juga berada dalam zon hijau/kuning dengan waktu terhad dari jam 10 pagi hingga 3 petang.
Manakala 15 cawangan di kawasan zon merah di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur dibuka dengan perkhidmatan terhad dari 9 pagi hingga 2 petang (Sabah), dan 10 pagi hingga 3 petang (Selangor, Kuala Lumpur & Putrajaya).
Sementara itu, cawangan Lahad Datu di Sabah ditutup sementara sehingga diberitahu kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di seluruh negara, kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan PKPB.
Mementingkan faktor keselamatan para pelanggan dan kakitangan, Bank Islam terus komited untuk mematuhi langkah-langkah yang diambil untuk
mengekang penularan pandemik ini, termasuk mengehadkan waktu operasi di cawangan-cawangan terlibat.
”Kami menggalakkan para pelanggan untuk menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital, termasuk aplikasi mudah alih GO by Bank Islam, platform Perbankan Internet Bank Islam (https://www.bankislam.biz) atau terminal-terminal layan diri.
”Selain itu, perkhidmatan E-banker kami juga tersedia untuk memudahkan transaksi perbankan perniagaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette