KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) memiliki salah sebuah kemudahan simpanan minyak sayuran terbesar dan termoden di dunia dengan jumlah kapasiti simpanan lebih 1.1 juta metrik tan menerusi 12 terminal cecair yang terletak di Malaysia, Indonesia dan Pakistan.

Ia mengendali perniagaan simpanan pukal menerusi anak syarikatnya, FGV Johor Bulkers Sdn. Bhd. (FJB).

FJB mengendalikan 25% keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia di samping menyediakan ruang simpanan yang cukup kepada pedagang minyak sayuran antarabangsa bagi menjalankan perniagaan secara lebih berkesan di serata dunia.

Berikutan peningkatan permintaan di pasaran dan untuk memenuhi mandat biodiesel B20 kerajaan untuk sektor pengangkutan, FGV telah meluaskan kemudahan simpanan pukal dengan menambah enam lagi tangki simpanan baharu untuk minyak sayuran.

Menurutnya, empat tangki berkenaan terletak di Pasir Gudang, Johor dengan kapasiti simpanan sebanyak 10,400 MT telah siap pada Ogos 2020, kini sedia untuk digunakan dan dua tangki dengan kapasiti 5,200 MT di Pelabuhan Klang, Selangor yang telah siap pada Februari 2020, kini sedia untuk digunakan.

Sementara tambahan sembilan buah tangki lagi terletak di Tanjung Langsat, Johor berkapasiti 20,000 MT pula kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun ketiga 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata penambahan tangki simpanan ini membuktikan kepakaran petugas kumpulan berkenaan mengendalikan produk-produk minyak sayuran dan bukan sayuran.

Ia turut disokong oleh sistem pengkomputeran sepenuhnya, kawalan kualiti dan kuantiti yang ketat, langkah-langkah keselamatan yang tegas selain kemudahan terima-simpan-hantar yang menyeluruh.

”FJB adalah salah sebuah terminal paling lengkap untuk mengendalikan pelbagai jenis simpanan serta keperluan pergerakan kargo. Melangkah ke hadapan, FGV merancang meluaskan lagi perniagaan simpanan pukal ke luar negara dan kami sedang meneroka pilihan terbaik yang ada,” kata Haris Fadzilah.

Pada 2019, FJB mencatat sejarah apabila syarikat berkenaan menceburi bidang pengendalian kimia asas sejajar dengan strateginya dalam mengembangkan perniagaan Kumpulan berkenaan selain dari minyak sayuran.

Katanya, menjelang 2021, FJB menjangkakan bakal mengendalikan lebih dari 80,000 MT kimia asas setahun di kemudahan mereka di Tanjung Langsat, Johor berikutan peningkatan permintaan.

FJB juga mengendalikan dua gudang untuk penyimpanan dedak isirung sawit (PKE), tempurung isirung sawit (PKS), serta bijirin. Gudang berkenaan terletak di Pasir Gudang, Johor dan Kuantan, Pahang dengan masing-masing berkeluasan 252,683 kaki persegi dan 179,611 kaki persegi.

Selain itu, sebuah gudang baharu berkeluasan 59,200 kaki persegi bagi kegunaan kargo kering juga bakal dibina di Pelabuhan Pasir Gudang dan dijangka siap pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan tempatan dan negara jiran.

FJB bertindak sebagai pusat sehenti bebas bagi simpanan dan pengendalian minyak sayuran, oleokimia, biodiesel, PKE, PKS, bijirin serta kimia asas menerusi kapal, lori tangki dan saluran paip di semua pelabuhan utama termasuk di Pasir Gudang, Tanjung Langsat, Pelabuhan Klang, Kuantan, Lahad Datu dan Sahabat di Malaysia manakala Palembang di Indonesia.

Katanya, FJB telah menerima pensijilan ISO 9001 (Pengurusan Kualiti), ISO 22000 (Keselamatan Makanan), ISO 14001 (Alam Sekitar), OHSAS 18001 (Keselamatan), ISO/IEC 17205 (Makmal), ICSC (Kawalan Karbon), GMP+ B3 (Gudang) dan disahkan sebagai Halalan –Toyyiban dan KOSHER. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast