KUALA LUMPUR – Malaysia dan Arab Saudi akan menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi bagi memperkukuh usahasama merangkumi pelbagai bidang yang menyentuh kepentingan bersama.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kedua-dua negara senada bahawa selain perlu terus melipatgandakan usaha memerangi wabak Covid-19, tumpuan perlu diberikan kepada kerjasama era pasca pandemik yang mana ia akan menjadi fokus jawatankuasa itu.

Katanya, ini penting, kerana Covid-19 bukan sahaja memberi impak daripada sudut kesihatan serta keselamatan rakyat, tetapi juga mengganggu gugat ekonomi, merencatkan rantaian bekalan dan makanan serta perkhidmatan sosial.

“Justeru, melalui penubuhan Jawatankuasa ini, kedua-dua negara bakal bekerjasama rapat dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara masing-masing berikutan kemerosotan
ekonomi global, menstabilkan kembali rantaian bekalan dan makanan yang tertanggu antara keduadua negara.

“Membantu rakyat masing-masing yang telah terkesan akibat krisis Covid-19 dan memulakan perbincangan awal mengenai kuota haji tahun 2021, jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan mengerjakan umrah serta kaedah pelaksanaan haji dan umrah jika ia boleh dilaksanakan sebelum vaksin Covid-19 ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Putera Faisal bin Farhan Al Saud.

Menurut Hishammuddin, memandangkan Arab Saudi dijangka melonggarkan penutupan sempadan bermula 1 Januari 2021, keputusan itu turut menyentuh kemungkinan membenarkan umat Islam dari luar Arab Saudi untuk menunaikan haji dan umrah dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

Tambah beliau, biarpun belum ada keputusan muktamad berhubung perihal haji dan umrah serta kaedah pelaksanaannya oleh Kerajaan Arab Saudi, namun Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pendirian sama bahawa perlunya mengadakan  perbincangan serta perancangan awal menerusi jawatankuasa ini agar kedua-dua negara lebih bersedia apabila ia hendak dilaksanakan kelak.

Hishammuddin berkata, pihaknya percaya penubuhan
jawatankuasa tersebut berupaya membawa manfaat kepada kedua-dua negara dan Malaysia akan memberikan sepenuh komitmen demi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan sebaiknya. – MalaysiaGazette