Gambar hiasan

“KAMI orang buta ini banyak perlukan peralatan khas untuk melakukan pelbagai perkara, jika berjalan di luar sana, kami perlukan laluan pejalan kaki khas dengan tongkat. Bahan bacaan perlu di tulis dalam tulisan khas iaitu braille manakala telefon bimbit mahupun komputer perlu dipasang perisian khas yang memberi panduan melalui suara, barulah kami boleh menggunakannya”.

“Masyarakat yang ‘tak buta’ di luar sanalah yang membantu dari segi masa, kudrat, kewangan dan lain-lain lagi dalam memudahkan kami golongan OKU menjalani kehidupan seharian seperti mereka yang normal, walaupun kecil bantuan diberikan seperti memimpin melintas jalam, kami OKU ini amat hargainya, terima kasih banyak-banyak”.

Itu adalah ungkapan dari seorang OKU cacat penglihatan yang masih segar dalam ingatan saya walaupun ia berlaku kira-kira 14 tahun lalu. Kebelakangan ini berlaku beberapa kes yang melibatkan golongan OKU mendapat perhatian dan mengundang perbahasan dalam kalangan masyarakat.

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008 menakrifkan “OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat”.

Pada pengamatan penulis, masyarakat boleh bertolak ansur dan lembut hati sekiranya kes berkenaan OKU fizikal namun agak berlawanan reaksi dan tindak balas masyarakat ke arah yang lebih negatif jika melibatkan OKU mental. Suatu yang boleh diambil secara positif apabila berlakunya kes melibatkan golongan OKU ialah ia menambahkan kecaknaan masyarakat terhadap keberadaan dan keperluan golongan ini yang sebenarnya terkait dengan konsep hak asasi manusia.

Suatu yang wajar dibanggakan, hak asasi golongan OKU sudah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan mula dilihat secara serius semenjak Konvensyen PBB Hak Orang Kurang Upaya dan Protokol Pilihan diwujudkan pada tahun 2006. Namun begitu, perlu diakui kebenaran yang pahit, walaupun di Malaysia kita sudah menguatkuasakan Akta OKU 2008, golongan OKU masih lagi berhadapan dengan persepsi negatif dan diskriminasi masyarakat, sekali gus dinafikan layanan sama rata disebabkan oleh ketidakupayaan mereka.

Di sinilah pendidikan dan pendedahan secara lebih meluas kepada masyarakat berkaitan OKU perlu dibuat secara berterusan menggunakan segala medium yang bersesuaian. Kita bersyukur dan berterima kepada Kerajaan yang tidak pernah meminggirkan golongan OKU selama ini malah turut menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk golongan ini di negara kita. Mungkin ada yang kurang maklum bahawa selain OKU fizikal dan mental, terdapat lima lagi kategori OKU yang boleh dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran OKU iaitu Kurang Upaya Pendengaran; Kurang Upaya Penglihatan; Kurang Upaya Pertuturan; Masalah Pembelajaran; dan Pelbagai  (Multiple Disabilities).

Usaha memperkasakan golongan OKU dilihat menjadi agenda berterusan Kerajaan dan ia boleh dilihat juga semasa pembentangan Belanjawan 2025 lalu. Selain bantuan perniagaan, pekerjaan, pendidikan, inisiatif percukaian dan kesejahteraan komuniti OKU, Belanjawan 2025 turut memperuntukkan secara khusus bagi kebajikan dan pendidikan anak-anak autistik untuk masa depan mereka yang lebih terjamin.

Tidak hanya Kerajaan, penulis melihat institusi pendidikan tinggi juga wajar diberi pujian kerana memanfaatkan kepakaran akademia yang dimiliki bersama jaringan industri yang meluas untuk mewujudkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi untuk kesejahteraan golongan OKU.

Misalnya Yayasan RI (Rizalman Ibrahim) melalui Dar Al Qari Resources menyumbang dana sebanyak RM3.9 juta kepada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Makltum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menjayakan projek Terjemahan IshaRi. Ia merupakan inisiatif USIM dalam rangka usaha bagi membawa pembelajaran al-Quran yang inklusif kepada komuniti OKU pendengaran yang selama ini dilihat seakan tercicir dalam mempelajari al-Quran.

Kesimpulannya, melihat jauh ke depan, tiga prinsip utama pendekatan hak asasi manusia, iaitu maruah, kesamaan dan inklusif penting dilaksanakan secara berfokus dan digembeleng oleh semua pihak berkepentingan kerana ia mampu mengurangkan persepsi negatif dan diskriminasi masyarakat terhadap golongan OKU.

Penulis merupakan Penolong Pendaftar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitangan USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast