KAJANG – Seorang pekerja sebuah restoran makanan segera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan merogol jirannya, seorang warga emas, pada 15 Oktober lalu.

Tertuduh berusia 29 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Kafli Che Ali selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut fakta kes pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 57 tahun dalam kejadian di sebuah apartmen di Semenyih antara jam 2 petang hingga 2.40 petang.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat manakala tertuduh diwakili peguam, Alif Murkis.

Tiada sebarang wang jaminan ditawarkan oleh Norhana terhadap tertuduh manakala Alif selaku peguam tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah supaya wang jamin dikurangkan.

Beliau berkata, tertuduh tidak lagi tinggal di kawasan kejadian dan tiada risiko atau peluang anak guamnya mengganggu mangsa.

Hakim Mohd Kafli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan melarang tertuduh mengganggu mangsa.

Tertuduh juga diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes perbicaraan selesai.

Mohd Kaafli Bmenetapkan sebutan semula kes pada 15 Disember ini. – MalaysiaGazette