Rodziah Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan digesa supaya melanjutkan pengecualian bayaran sewa kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.

Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Selangor, Rodziah Ismail berkata, pengecualian itu perlu kerana golongan berkenaan paling terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu sejak negara berdepan pandemik Covid-19.

“B40 merupakan golongan yang paling terjejas dengan situasi yang melanda. Kebanyakan mereka yang bekerja di sektor bawahan diberhentikan kerja.

“Kesukaran mendapatkan pekerjaan pada ketika ini merupakan satu cabaran buat golongan B40,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Rodziah menambah, kerajaan juga perlu meneliti data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan negara mengalami penyusutan ekonomi paling ketara dalam kalangan negara ASEAN.

Jelasnya, mengikut data tersebut, ekonomi negara menyusut sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020.

“Begitu juga dengan kadar pengangguran yang meningkat kepada 4.7 peratus pada Julai lalu berbanding 3.3 peratus pada Julai 2019,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, peratusan pengangguran itu merupakan angka yang besar iaitu bersamaan dengan 745,100 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast