Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendengar penjelasan daripada Ketua Eksekutif My Grocer@Wilayah, Abu Zaki Abu (kiri) mengenai harga barang basah semasa melawat Program Pasar Bergerak My Grocer@Wilayah di PPR Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa menyelar sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Kabinet untuk melaksanakan darurat memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.

Menteri Wilayah Persekutuan dengan sinis mendakwa Anwar sendiri menjadi punca negara kini berada dalam kegawatan politik apabila menyatakan dirinya mempunyai sokongan majoriti dengan mempersembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong namun tidak menunjukkan senarai nama seperti didakwa.

“Jangan menghukum sebelum benda berlaku, sekarang dia ramal dan dia jatuh hukum itu tidak baik.

“Dia ramal kerajaaan nak buat itu nak buat ini, belum dengar lagi kerajaan nak buat macam mana, apa yang hendak dibuat, saya fikir itu saya anggap tidak beretika.

“Lagipun, saya rasa Anwar kena bertanggungjawab bahawa dia sendiri ada peranan yang menyebabkan negara gawat sekarang ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau program MyGrocer@Wilayah di sini Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas hari ini.

Annuar berkata, Presiden PKR itu tidak boleh membuat keputusan dengan melihat sesuatu menerusi pandangan politiknya sendiri kerana ia tidak akan menunjukkan jawapan yang adil.

Katanya, jika kerajaan hendak melaksanakan sesuatu seperti pengisytiharan darurat sudah pasti ia akan disertakan dengan penjelasan.

“Tapi, saya lihat kenyataan Anwar seolah-olah layman (seperti kata-kata netizen) punya analisa. Dia kata, tiada apa-apa yang menggangu ketenteraman awam.

“Baca dulu Perlembagaan di bawah perkara 150 darurat itu ada banyak jenis. Apabila perkara itu menyentuh soal kesejahteraan dan ekonomi yang pentafsirannya kena rujuk kepada pakar undang-undang,” ujarnya.

Semalam, dalam satu kenyataan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan keputusan Kabinet untuk melaksanakan darurat memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.

Beliau bimbang dengan laporan berita yang mengandaikan kerajaan mahu menjadikan Covid-19 sebagai alasan bagi menyekat proses Parlimen.

Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bilamana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara, ujarnya.

Namun dakwanya, kerajaan sendiri menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah ke belakang yang akan memungkinkan kediktatoran. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.