Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.

KUALA LUMPUR – Sembilan Raja-Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri di Malaysia dijadualkan mengadakan pertemuan khas esok di Istana Negara.

Mesyuarat itu difahamkan bagi membincangkan mengenai beberapa cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, kepada Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Ia diadakan selepas Muhyiddin dan beberapa Menteri Kabinet mengadakan pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Abdulaziz, Kuantan, semalam.

Memetik laporan Berita Harian Online, pertemuan Raja-Raja Melayu itu dijangka memperincikan segala cadangan dibawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk kemungkinan untuk melaksana pengisytiharan darurat atau prorog Parlimen.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Muhyiddin.

Ia ekoran Jemaah Kabinet bersetuju dengan pelaksanaan “darurat” atas dasar menangani penularan Covid-19.

Keputusan itu dicapai Jemaah Kabinet dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

YDPA bincang cadangan Kabinet dengan Raja-Raja Melayu – Istana Negara