Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan dari Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perbincangan itu akan diadakan dalam masa terdekat ini di Istana Negara.

Katanya, Al-Sultan Abdullah menasihatkan seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi sutuasi terkini ini, sementara menunggu keputusan mengenai cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini,” katanya menerusi kenyataan rasmi Istana Negara kepada media, hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5 petang semalam.

Kata beliau, sesi menghadap itu telah dimohon oleh Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikannya di Putrajaya pada pagi semalam.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya.

“Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat  berikutan daripada perkembangan terkini ini,” katanya.

Justeru, katanya, susulan dari sesi menghadap itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang telah dikemukakan oleh Muhyiddin.

Mengenai kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi wabak itu demi keselamatan diri serta masyarakat.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan, Muhyidddin tiba di Istana Abdul Aziz di Kuantan, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdul Aziz pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Turut kelihatan memasuki Istana Abdul Aziz ialah kenderaan rasmi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. setuju Darurat Kesihatan dan politik ,Sekarang keutamaan adalah Rakyat bukan ahli politik yg tiapa2 bulan dok dapat elaun beribu-ribu terutama yg hanya kerap bangkang sehingga susah nak jumpa di kawasan melainkan hanya wakil saja,
    Gantungkan elaun ahli politik dan duit tu beri kepada rakyat (rakyat termasuk ahli politik) jadi semua orang dapat merasai. Apa guna persidangan Parlimen kalau hanya berlakon supaya rakyat nampak mereka berbahas tetapi kebanyakan tiada isi.
    Darurat juga boleh digunakan untuk siasat penjualan aset-aset negara terutama melibat ASET UMAT ISLAM.
    Hanya yg takut hilang elaun atau menjual aset2 Umat ISLAM yg takut kerana terbongkar..

  2. Kepada MP yg dipilih buat kerja kalau tidak mahu Letak JAWATAN..

    SHAH ALAM – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai kuasa untuk mentadbir negara sepenuhnya jika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Malaysia dalam masa terdekat.

    Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Seri Paduka juga boleh membuat ordinan semasa darurat dan undang-undang itu tidak semestinya perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan kecuali melibatkan beberapa perkara.

    Menurutnya, perkara itu berkaitan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan istimewa Melayu, hak istimewa Sabah dan Sarawak serta kedaulatan Raja-Raja.

    “Ordinan darurat itu dibuat dengan mengambil kira tujuan darurat diisytiharkan.

    “Sekiranya ia diisytiharkan berikutan situasi semasa penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin serius, undang-undang dibuat mengikut tujuan itu.

    “Undang-undang yang diperkenalkan itu mungkin akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah menangani penularan pandemik itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

    Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang dipercayai untuk mendapat perkenan mengisytiharkan darurat ekoran keadaan penularan Covid-19.

    Dr Nik Ahmad Kamal berkata, sekiranya darurat diisytiharkan ia akan mencipta sejarah baharu di Malaysia kerana buat pertama kalinya ia terpaksa dilakukan disebabkan penularan wabak penyakit.

    “Parlimen pun masih boleh bersidang dan berfungsi seperti biasa mengikut Perkara 150 Proklamasi Darurat Perlembagaan Persekutuan.

    “Ahli Parlimen masih boleh menjalankan tugas seperti biasa termasuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

    “Bagaimanapun, kalau sidang itu dilihat perlu ditangguhkan mengikut keadaan semasa, ia boleh ditangguhkan.

    “Walaupun darurat berkuat kuasa sama ada selama enam bulan atau lebih, gaji dan elaun ahli Parlimen masih berjalan atau dibayar kerajaan seperti biasa.
    ..
    Walaupun depa x buat kerja tetapi masih dapat ELAUN SERTA GAJI AHLI PARLIMEN…
    Apa yg mereka dok gaduh bukan macam kami rakyat marhen yg kena kerja juga walapun PKPP/D atau darurat..

Comments are closed.