KKM menyeru penduduk di Lembah Klang supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru penduduk di Lembah Klang supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang menegaskan perkara itu memberitahu, ia berikutan pertambahan 76 kes positif Covid-19 hari ini dengan jumlah keseluruhan di Selangor iaitu 3,880 kes.

Katanya, jika dibandingkan dengan tempoh 14 hari lepas, Selangor telah mencatatkan 26 kes jumlah kumulatif kes positif iaitu 2,601 kes.

“Kenaikan 1,279 kes ini telah dilaporkan di beberapa daerah mengakibatkan jumlah daerah merah di negeri Selangor telah meningkat daripada dua daerah kepada enam daerah dalam tempoh 14 hari ini.

“Kenaikan paling ketara adalah dalam daerah Hulu Langat (168 kes), Klang (115 kes) dan Gombak (93 kes),” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covdi-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, peningkatan kes penularan tempatan di dalam negeri Selangor mula dilihat pada 2 Oktober dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini.

Katanya, jika dilihat semula kronologi situasi penularan Covid-19 di negeri Selangor dalam gelombang ketiga ini, kluster pertama yang dilaporkan adalah Kluster Jalan Apas, iaitu pada 28 September di mana ianya telah melibatkan keluarga yang pulang dari negeri Sabah.

“Setakat ini, 196 kes telah dikesan positif Covid-19 di negeri Selangor dan mempunyai sejarah perjalanan dari negeri Sabah.

“Susulan itu, sembilan buah kluster telah dikesan di negeri Selangor yang berkaitan dengan pengunjung pulang dari negeri Sabah. Kluster terbaharu adalah dikesan hari ini iaitu Kluster Bah Kayu,” jelasnya.

Namun begitu, didapati mulai berlaku pula penularan tempatan di negeri Selangor dengan saban hari lebih banyak kes dan kluster tempatan dikesan 35 kluster aktif.

Situasi yang sama ini telah dilihat di Kedah sebelum ini, bermula daripada kluster kes import iaitu Kluster PUI Sivagangga, dan kemudiannya lebih banyak kluster penularan tempatan di kesan di negeri Kedah, katanya.

Tambah beliau, mutakhir ini iaitu mulai 11 Oktober, penularan tempatan di Selangor mulai mengakibatkan kluster berkaitan tempat kerja, di mana setakat ini enam kluster dikesan di negeri itu.

Justeru, Noor Hisham memohon semua majikan dan pekerja untuk mematuhi ketetapan PKPB kerana ianya akan membantu mengurangkan pergerakan masyarakat di sekitar kawasan tersebut dan mengurangkan juga risiko penularan di kawasan tempat kerja.

Tegasnya, kepatuhan masyarakat setempat dalam membudayakan amalan baharu dan Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan adalah amat penting bagi membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19. – MalaysiaGazette