Banyak pihak meminta sekatan pergerakan diperketatkan susulan lonjakan kes Covid-19.

KUALA LUMPUR – Pihak yang menentukan seseorang  bekerja di pejabat atau dari rumah adalah majikan, bukan pasukan keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan itu berkata, anggota keselamatan di SJR hanya boleh mengarahkan seseorang itu berpatah balik sekiranya gagal menunjukkan surat kebenaran bekerja dari majikan atau kad pekerja sebagai bukti.

“Yang tentukan siapa bekerja di rumah dan di pejabat adalah majikan, bukan polis di SJR. Bagi pekerja yang perlu bekerja di pejabat, majikan wajib keluarkan surat kebenaran untuk rentas daerah bekerja.

“Atau pekerja itu perlu menunjukkan kad (pass) pekerja ketika di sekatan jalan raya, dan jika semuanya ada, pihak di SJR boleh membenarkan pekerja itu merentas daerah untuk ke pejabat,” katanya pada sidang media khas harian Covid-19 hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Mengenai tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), Ismail Sabri menyatakan, mulai hari ini, kerajaan memutuskan untuk menghalau dan mengusir mereka pulang ke negara asal bukan lagi menangkap dan menempatkannya dalam penjara.

Ini kerana, katanya, kerajaan mendapati punca meningkat kes positif Covid-19 di penjara terutama di Pantai Timur Sabah adalah dari Pati yang ditahan dan menjangkiti tahanan lain.

“Ops Benteng selepas ini lebih menumpukan kepada pengusiran dari tangkap. Kita dapati punca meningkatnya positif Covid-19 di Pantai Timur Sabah, bila Pati ditahan dan dicampur dengan tahanan lain.

“Kemudian kes positif terus merebak di luar.

“Sekarang kita buat keputusan, kita halau dan usir mereka sebelum masuk ke sempadan negara. PATI yang tangkap hanya selepas sudah melepasi sekatan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette