Saringan Covid-19 dilakukan di kawasan PKPD di Sabah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya mulai jam 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat sebanyak 503 saringan di Asrama Pekerja Tropicana dan 23 daripadanya direkodkan positif Covid-19.

Katanya, semua yang positif itu telahpun menerima rawatan di hospital manakala kontak rapat mereka telah diarah menjalani kuarantin wajib.

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya bermula 12 Oktober sehingga 25 Oktober, esok.

“Atas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dan nasihat MKN, sidang khas ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya bermula tengah malam ini seperti mana yang telah dijadualkan.

“Bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKPB bagi seluruh negeri Selangor,” katanya pada sidang media khas harian mengenai Covid-19 hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Mengenai pelanjutan PKPB di seluruh Sabah, Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan itu bermula 13 Oktober sehingga 26 Oktober ini.

Katanya, ketika ini KKM meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan masih terdapat peningkatan kes positif yang tinggi dikesan dalam kalangan penduduk.

Sehubungan itu, ujarnya, atas cadangan MKN Sabah dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober sehingga 9 November ini.

Namun, menurutnya, sidang Khas hari ini juga mendengar pembentangan dan cadangan daripada MKN Sabah mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di Taman Semarak dan PPR Balung, Tawau, Sabah.

“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD melibatkan dua lokaliti ini yang akan berkuat kuasa 26 Oktober sehingga 10 November ini.

“PKPD di dua lokaliti ini melibatkan 4,266 rumah dengan jumlah 21,470 penduduk. Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, antara SOP itu ialah semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD, namun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar dari zon, tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada polis.

“Semua sekolah, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini. Kelonggaran diberikan kepada kedai runcit untuk beroperasi, namun dihadkan mulai jam 6 pagi hingga jam 6 petang.

“Aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya tidak dibenarkan. KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada penduduk yang terlibat, manakala bekalan makanan bagi yang memerlukan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya.

Kata Ismail, bagi memastikan pematuhan perintah itu, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, PBT dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terlibat. – MalaysiaGazette