Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang Dipertuan Agong (YDPA) dan akan membawa senarai majoriti ahli Parlimen menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara diterima baik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, Anwar menjunjung titah Al-Sultan Abdullah yang padanya jelas memperkukuh sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Saya menyambut baik serta menghargai kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta ihsan dan hemah Raja-Raja Melayu atas kenyataan, pendirian dan pandangan terkait permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri.

“Keputusan dan ketetapan bersejarah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menolak usul Perdana Menteri dan jemaah menteri untuk mengisytiharkan darurat itu jelas memperkukuh sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen,” katanya hari ini.

Menurut Presiden PKR itu lagi, keputusan yang dicapai Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu yang berbincang mengenai cadangan Jemaah Menteri yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu jelas berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Ia ternyata suatu ketetapan yang berlandaskan semangat Perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat seperti yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik, masyarakat madani, tokoh-tokoh akademik dan pihak media yang bertanggungjawab yang menginginkan agar sistem demokrasi tidak dinodai,” katanya.

Anwar berkata demikian merujuk kepada kenyataan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, yang berkata Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.

Ahmad Fadil berkata baginda berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.

Dalam pada itu, Anwar juga berikrar pihak pembangkang akan memastikan perancangan menangani malapetaka Covid-19, masalah pengangguran dan kemiskinan serta menjana pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih terencana dan berkesan di masa akan datang.

“Tokoh-tokoh politik termasuk Ahli-ahli parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, insitusi Parlimen  dan negara agar dapat diimbangi pelbagai tuntutan terkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Apa maksud lu “lebih terencana”… PHaruupun memerintah 22 bulan rakyat dapat apa… Barang tetap mahal… Semuanya janji palsu… Sudah-sudahlah

  2. Lain kali Non kalau nak jumpa YDPA buatlah sedikit homework, jangan lenggang kangkung, pastikan betul2 ada nombor baru masuk mengadap, nombor2 spekulasi ni kerja jahanam, jangan lagi nak libatkan YDPA dalam kerja2 mengira kepala2 MP!

Comments are closed.