KUALA LUMPUR – Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-33 dalam norma baharu buat julung kalinya telah menjalinkan kerjasama dengan TikTok dengan memperkenalkan kategori khas untuk menghargai kelab peminat menerusi laman aplikasi TikTok.
Sebanyak 24 kelab peminat atau ‘FC’ yang sebahagian besarnya mewakili artis bertanding dalam pelbagai kategori pada ABPBH 33 serta aktif menjayakan kempen ABPBH sejak beberapa tahun lalu mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Bagi memeriahkan lagi penganjuran ABPBH 33, peminat juga boleh berkongsi video TikTok paling kreatif menggunakan lagu Xiaomi, ‘Xiaomi For Me’ yang dinyanyikan oleh artis Yonnyboii dan Shalma Eliana bersama gaya tarian yang ditetapkan dengan hashtag #ABPBHKITA2020.
Video paling kreatif dengan tontonan paling tinggi berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik dari Xiaomi. Selain itu, video kelab peminat yang meraih undian tertinggi akan dinobatkan Anugerah FC #FANstatik Popular.
Tarikh penyertaan dan undian boleh dilakukan di laman aplikasi TikTok bermula 21 Oktober lalu sehingga 8 November ini.
Pengarang Berita Hiburan BH merangkap Pengarah Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Shamshul Azree Samshir berkata, pihak BH selaku penganjur ABPBH pada tahun ini membuat penambahbaikan dalam kategori yang dipertandingkan sebagai penghargaan kepada kelab peminat yang sentiasa setia menyokong industri seni tanah air, sekaligus memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan penganjuran ABPBH untuk kekal relevan selama lebih tiga dekad.
“Sesuai dengan norma baharu pada masa ini, kami bekerjasama dengan TikTok untuk memberi ruang dan peluang kepada kelab-kelab peminat menunjukkan kreativiti masing-masing dan meneruskan sokongan mereka terhadap artis-artis kesayangan mereka dengan menggunakan laman sosial video TikTok.
“Bertepatan dengan tema #ABPBHKITA2020, BH sentiasa memastikan segala aktiviti dan promosi penganjuran ABPBH pada tahun ini selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, sejarah bakal tercipta buat ABPBH 33 pada tahun ini kerana acara ini merupakan program anugerah berprestij yang pertama di Malaysia yang akan disiarkan secara langsung menerusi laman aplikasi TikTok pada hari Jumaat, 13 November 2020.
Mempertandingkan 13 kategori utama dan lima kategori ‘online’, pemilihan artis popular masih lagi terbuka sehingga 8 November ini menerusi laman www.web abpbh.com.my.
Untuk mengetahui lebih lanjut dan informasi terkini ABPBH 33, boleh ikuti laman sosial Facebook dan Instagram BH. – MalaysiaGazette