DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Semua pihak perlu patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghentikan perbuatan ‘politiking’  (mainan politik) yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keutamaan pada masa kini adalah semua rakyat Malaysia perlu ‘bergerak bersama-sama’ bagi membendung pandemik wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Saya percaya gerakan untuk membendung pandemik COVID-19 akan diberi tumpuan khusus pada pembentangan Belanjawan Negara 2021 tidak lama lagi.

“Kerajaan Negeri Pahang menjunjung kasih atas titah Seri Paduka yang memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin negara terutamanya dalam menangani isu penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, Istana Negara dalam kenyataan medianya memaklumka Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Sementara itu di Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata titah Baginda itu juga memastikan negara dapat dipacu dengan lebih baik termasuk dalam soal memperkukuhkan ekonomi.

“Tuanku dan Raja-Raja (Melayu) telah membuat keputusan dengan penuh hikmah dan bijaksana bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara, ekonomi dan permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih baik dan teratur,” katanya di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian “Supply Agreement of Renewable Energy” antara Majlis Bandaraya Seremban, Tenaga Nasional Berhad dan GSPRX Sdn Bhd, hari ini.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebooknya pula berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong sewajarnya mendorong semua pihak tampil demi kepentingan nasional untuk bersama-sama kerajaan dalam memerangi pandemik global ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau erkata keputusan berkenaan juga telah mempertahankan Perlembagaan, mengiktiraf kerja keras dan sumbangan luar biasa petugas kesihatan dan barisan hadapan negara serta mengutamakan kepentingan rakyat.

“Patik yakin kerajaan Perikatan Nasional akan mengusahakan apa jua yang sewajarnya untuk menterjemahkan keputusan bijaksana ini,” katanya.

— BERNAMA