JAKARTA – Mahkamah rasuah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada ahli perniagaan, Benny Tjokrosaputro selepas didapati bersalah terlibat memanipulasi saham hingga mencetuskan kerugian lebih daripada AS$ 1 bilion kepada syarikat insurans, Asuransi Jiwasraya, lapor agensi berita Antara.
Tiga daripada eksekutif syarikat insurans itu juga adalah antara lima defendan lain yang dijatuhkan hukuman seumur hidup dalam salah satu perbicaraan anti-rasuah terbesar di Indonesia.
Kes itu dibicarakan oleh mahkamah rasuah khas di sini.
Tjokrosaputro, yang telah menjadi berita utama antarabangsa dengan tuntutan AS $ 1 juta yang pernah dikemukakan terhadap Goldman Sachs, diperintahkan untuk membayar ganti rugi enam trilion rupiah (AS $ 410 juta).
Mahkamah mendapati Tjokrosaputro, Ketua Pesuruhjaya Pemaju Harta Tanah Hanson International, bersalah atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dengan bersekongkol bersama pelabur lain untuk menaikkan saham di pasaran ekuiti utama Indonesia.
Dia didakwa membuat perjanjian dengan eksekutif Jiwasraya untuk melabur dalam saham dan kemudian menggunakan keuntungan untuk membeli harta tanah dan mata wang asing, kata agensi itu, memetik dokumen mahkamah.
Ahli perniagaan itu juga didakwa menggunakan pengetahuannya untuk “mencemarkan reputasi, dan mengikis kepercayaan masyarakat terhadap pasaran modal,” kata Antara memetik penghakiman Hakim Rosmina.
Dalam satu kenyataan peguamnya, Muchtar Arifin menolak tuduhan tidak berasas bahawa anak guamnya mengawal harga saham yang dimiliki oleh orang lain dan menambahkan tertuduh akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya.
Pelaburan yang tidak baik itu menyebabkan Jiwasraya gagal melaksanakan lebih daripada 10,000 polisi bancassurance pada tahun 2018.
Malah, sehingga hari ini kerajaan masih belum menyelesaikan beberapa hutang tertunggak kepada pemegang polisi.
Kes tersebut menyebabkan Indonesia mengalami kerugian sebanyak 16.81 trilion rupiah (AS $ 1.15 bilion), kata juruaudit kerajaan.
Tjokrosaputro, yang menduduki tempat ke-43 dalam senarai 50 orang terkaya oleh Forbes di Indonesia pada 2018, telah mengemukakan tuntutan terhadap Goldman pada tahun 2016 mengenai pemilikan saham di Hanson International.
Walaupun dia menang dalam kes itu di mahkamah rendah tetapi Goldman memenangi kes tersebut di Mahkamah Agung tahun lalu.
Hanson International diisytiharkan muflis pada 12 Ogos lalu, menurut laporan bursa saham. – MalaysiaGazette