KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini memanggil Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis ke Malaysia berikutan kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menuduh agama Islam berada dalam krisis di seluruh dunia,

Menurut Kementerian Luar, pertemuan itu bagi menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

“Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama.

“Semasa pertemuan tersebut, Kementerian Luar Negeri mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W,” kata dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Macron membuat kenyataan sebagai maklum balas kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris, awal bulan ini, selepas mangsa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan insiden serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast