Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman. foto NOOREEZA HASHIM, 23 DISEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyediakan pelan kontigensi sebagai langkah proaktif untuk menghadapi banjir pada tahun ini dan memastikan bekalan keperluan asas tidak terputus.

Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tindakan yang dicadangkan melalui pelan kontigensi itu akan bermula seawal bulan depan.

Katanya, beberapa langkah persiapan dan tindakan awal telah diaturkan dan bakal dilaksanakan oleh bahagian penguatkuasa KPDNHEP.

“Antaranya mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di negeri yang terlibat dan mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan samada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, pihaknya juga telah membenarkan pemborong dan peruncit terpilih menambah had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus.

Selain itu, katanya pihaknya turut mengadakan libat urus bersama industri pengeluar serta pengimport barangan kawalan dan keperluan asas dengan agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat dalam pengurusan bencana alam.

“Kita juga akan membantu kumpulan sasar dengan pengagihan lebihan makanan melalui program foodbank,” ujarnya.

Sementara itu Iskandar memberitahu, KPDNHEP telah melaksanakan pemantauan secara berterusan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac lalu bagi memastikan barangan keperluan asas mencukupi dan stabil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast