Khabib Nurmagomedov.

Tahniah Khabib Nurmagomedov atau lebih dikenali sebagai ‘The Eagle’ atas kemenanangannya dalam siri perlawanan UFC baru-baru ini.Cerita tentang Khabib, teringat kisah PERJUANGAN HEBAT seorang yang namanya mirip Khabib, iaitu Khabbab bin Al-Arat RA (خَبَّاب ٱبْن ٱلْأَرَتّ), seorang sahabat nabi SAW yang terkenal dengan kisahnya diseksa secara kejam kerana keislamannya.
Bagaimana kisahnya yang pernah mengadu pada nabi tentang derita yang dihadapi oleh beliau dan rakan2nya. Beliau telah diperlakukan secara kejam dengan menggunakan besi yg panas kemerahan, sehingga mengoyakkan kulitnya dan pelbagai lagi seksaan, hanya kerana menzahir serta mempertahankan imannya.

Kisah beliau ada dirakamkan dalam beberapa hadith sahih, antaranya:
عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ فَقُلْنَا أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو لَنَا فَقَالَ قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهَا فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ
Maksudnya: “Dari Khabbab bin Al Arat RA mengatakan, kami pernah mengadu penderitaan kepada Rasulullah Shallallahu’alaihiwasallam yang ketika itu baginda sedang beralaskan kain panjangnya di naungan ka’bah. Maka kami mengadu; ‘Tidakkah engkau meminta pertolongan untuk kami? Tidakkah engkau berdoa untuk kami?’. Maka baginda SAW bersabda; “Sungguh sebelum kalian ada orang yang ditangkap kemudian digalikan lubang baginya dan ia ditimbun disana (hidup-hidup), kemudia (ada pula) didatangkan gergaji dan diletakkan di kepalanya, sehingga kepalanya dan tubuhnya terbelah menjadi dua, dan ada yang disisir dengan sisir besi sehingga memisahkan tulang dan dagingnya, namun semua siksaan itu tidak memalingkannya dari agamanya.” (HR Bukhari, 6943)

Mendengar jawapan nabi, tidak membuatkan Khabab kecewa, malah semakin menambahkan keimanan beliau. Beliau semakin bersemangat dalam berjihad sehinggalah beliau wafat.
Generasi muda hari ini wajar warisilah dari semangat Khabbab RA atau Khabib ‘The Eagle’.

TAUHID DALAM SUKAN

Dalam sedar atau pun tidak, Khabib telah mencontohkan sifat mentauhidkan Allah dalam sukan hiburan yang diceburinya.
Bagaimana Khabib menzahirkan secara terbuka keimanannya terhadap Allah. Ucapan zikrullah seperti ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahuakbar’ tidak pernah terlepas dari mulutnya ketika berbicara, termasuk ketika diwawancara pihak media barat.
Bahkan pada setiap kali kemenangannya, beliau akan membuat satu isyarat tangan: menunjuk pada dirinya, kemudian membuat isyarat ‘tidak’, kemudian menunjukkan jari telunjuk ke arah langit.

Beliau mahu memberi isyarat bahawa kemenangan demi kemenangan yang beliau raih bukanlah asbab dirinya, bukan kerana kehebatan dirinya, tetapi semuanya dari Allah.
Itu belum lagi bicara tentang sifat sabar dan tenangnya apabila diri diejek dan diprovok oleh pihak lawan. Namun apabila melibatkan maruah agama dan nabi dihina, maka beliau zahirkan kemarahannya (merujuk perlawanan beliau VS Mcgregor).
Konsep dakwah bil-hal seperti ini begitu luas dan boleh dilakukan oleh sesiapa dan di mana jua. Termasuklah dakwah melalui sukan dan hiburan. Dan ternyata Khabib boleh menjadi contoh atlit muslim yang baik.

Hari ini, Allah uji beliau dengan kemenangan kali ke-29 berturut-turut, tanpa sebarang rekod kekalahan. Dan suatu yang mengejutkan, beliau turut mengumumkan persaraannya dalam dunia sukan UFC serta-merta. Atas sebab apa? Ya, kerana IBU dan arwah BAPANYA. Walaupun karier beliau sedang berada di kemuncak, namun demi ibu dan bapanya, beliau rela melepaskan kemasyhurannya. Sekali lagi beliau pamerkan sikap terpuji. Beliau layak dijadikan idola anak muda. Semoga Allah mengampuni beliau, dan terus dalam rahmat Allah.

Syabas dan tahniah anak muda, Khabib Nurmagomedov!

MUAZ MOHD NOOR
Pensyarah,
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),
UITM Melaka.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast